Pengangkutan awam perlu lebih cekap atasi kesesakan 'luar biasa'

Iklan
Foto hiasan

JUMLAH kenderaan di Malaysia dilaporkan melebihi penduduk iaitu 33.3 juta kenderaan berdaftar berbanding penduduk seramai 32.6 juta orang pada 2021.

Berdasarkan jumlah tersebut, 47.3 peratus adalah kereta, motosikal (46.6 peratus), kenderaan perdagangan (4.7 peratus). Baki adalah bas, teksi, kereta sewa pandu sendiri dan lain-lain jenis kenderaan.

Iklan
Iklan

Ia peningkatan tahunan sebanyak sejuta kenderaan sejak 2019 dan terus meningkat berdasarkan jualan kenderaan negara mencecah 720,658 unit sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatat sejarah dalam sektor automatif Malaysia.

Menurut Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, jumlah keseluruhan industri (TIV) yang tertinggi sepanjang zaman itu melepasi sasaran awal MAA iaitu 630,000 unit.

Iklan

Dengan peningkatan itu, maka tidak hairanlah jika kesesakan jalan raya luar biasa berlaku lagi di bandar utama seperti Kuala Lumpur setiap hari, lebih-lebih pada waktu puncak.

Pertambahan lebuh raya di Malaysia, khususnya di Lembah Klang juga dilihat bukan penyelesaian kepada masalah kesesakan kerana jumlah kenderaan yang banyak akan tertumpu untuk masuk ke pusat bandar.

Iklan

Begitu juga jika cuti umum dan perayaan, lebuh raya utama negara menghala ke utara, selatan dan timur akan mengalami kesesakan teruk.

Baru-baru ini media melaporkan, sebahagian warga kota mengamalkan norma baharu dengan keluar rumah seawal jam 5 pagi dan tidur di dalam kereta di tempat kerja sebelum pejabat dibuka.

Ia terpaksa dilakukan kerana tidak sanggup berdepan kesesakan teruk terutama selepas jam 7 pagi. Situasi itu bukan sahaja menyumbang kepada kerugian wang dan masa, malah kesihatan mental rakyat yang berdepan tekanan disebabkan kesesakan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan bahawa tiga aspek utama bakal ditumpukan oleh kementeriannya iaitu penambahbaikan pengangkutan awam, digitalisasi perkhidmatan dan keselamatan jalan raya.

Beliau yang turun padang dan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) pada waktu puncak berharap penambahan tren dapat dibuat bagi mengurangkan kesesakan pengangkutan awam.

Nampaknya Kementerian Pengangkutan perlu bekerja lebih keras memastikan pengangkutan awam seperti LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) dapat diakses lebih ramai pengguna.