BEBERAPA hari lalu, Merak Jalanan sedikit lapang dan sempat ‘membelek’ Facebook lebih lama untuk mengetahui isu semasa dibicarakan oleh warga maya.
Seperti biasa nampaknya isu-isu kontroversi artis mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Buktinya, beratus komen ditinggalkan sama ada berbentuk nasihat mahupun sindiran.
Merak Jalanan juga terlihat satu hantaran di grup peminat untuk satu jenama perabot terkemuka yang baru diwujudkan, mahu menyumbang barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh dalam jumlah besar, kononnya tak dapat dijual kerana calar serta kemik.
Syarat untuk menyertainya cukup mudah. Pengguna Facebook cuma perlu menulis satu perkataan di ruangan komen dan kemudian berkongsi hantaran tersebut ke beberapa kumpulan di media sosial berkenaan.
Walaupun ada beberapa individu memberikan peringatan agar berhati-hati kerana bimbang scammer yang mahu mengambil peluang menipu orang ramai disebabkan terdapat pautan ke halaman tertentu tetapi ia seperti tidak diendahkan dengan angka mereka yang menyertainya dilihat semakin bertambah.
Siapa tidak terpesona dengan tawaran tersebut, lebih-lebih lagi produk yang didakwa mahu diberikan percuma itu bernilai ribuan ringgit.
Merak Jalanan memang tak berani nak tekan pautan dalam hantaran tersebut kerana bimbang wang yang tidak seberapa dalam akaun bank mungkin lesap atau data peribadi dicuri.
Ada seorang rakan beritahu Merak Jalanan bahawa hantaran-hantaran seumpama itu bukan sesuatu yang baharu, tujuannya sama ada nak tambah pengikut lebih cepat melalui tawaran palsu atau scammer mencari mangsa.
Bukan tak ada pihak memberikan hadiah percuma kepada individu bertuah tetapi jika tawaran seakan-akan tak masuk akal, kita sepatutnya ada rasa curiga.