TERENGGANU Hockey Team (THT) melaungkan amaran awal apabila menyingkap saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 dengan mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih selepas menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), 4-3, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Permain import dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun muncul wira THT apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu kelab Pantai Timur itu merangkul kejuaraan serta tiga mata pertama dalam saingan liga musim ini.
Kedua-dua pasukan bermula garang untuk memburu jaringan, namun TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pemain tengah, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, menerusi gol padang pada minit ke-13.
Bagaimanapun THT kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Fikri Saari pada minit ke-20.
TNB yang terus mengasak kubu lawan, berhasil mendapatkan jaringan kedua melalui pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-32.
Namun THT sekali lagi merapatkan kedudukan menerusi Jong-hyun, dua minit kemudian.
Shello Silverius terus menambah derita TNB apabila menyempurnakan jaringan pada minit ke-43.
Kedudukan itu tidak kekal lama, TNB kembali merapatkan jurang jaringan menerusi Muhammad Amirul Amizan Azahar pada minit ke-49.
THT yang tidak mengalah akhirnya memadamkan sisa kebangkitan TNB apabila Jong-hyun melengkapkan jaringan peribadi kedua pada minit ke-58 untuk kemenangan 4-3.
Sementara itu bagi kategori wanita, Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih MHL 2023 selepas menundukkan KPT-Uniten Thunder 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti setelah terikat 1-1.
Tuah menyebelahi Negeri Sembilan apabila pemain kebangsaan, Fatin Shafika Mahd Sukri menyempurnakan pukulan penalti terakhir.
Keputusan itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan mengumpul satu mata untuk permulaan musim 2023 musim ini.
KEPUTUSAN LAIN
MHL 2023 (LELAKI)
Maybank 10-0 TNB Thunderbolt
Nurinsafi Sporting 2-6 UiTM HA-KPT
ATM 0-2 Young Tigers