ATM atur gerak petugas, kelengkapan Hospital Medan ke Turkiye

Iklan
Affendi Buang

SHAH ALAM - Seramai 36 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berserta peralatan Hospital Medan Malaysia (HHM) seberat 44 tan telah dihantar ke Turkiye jam 3 pagi, Jumaat.

Jurucakap Markas ATM, Hal Ehwal Awam Wisma Pertahanan dalam kenyataan berkata, atur gerak petugas dan kelengkapan HHM ke lokasi gempa bumi di Turkiye dan Syria akan beroperasi selama enam minggu di sana.

Iklan
Iklan

Ujarnya, majlis penghantaran pasukan Op Starlight itu disempurnakan oleh Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, pagi Jumaat.

Menurutnya, keseluruhan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai Brigedier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, diterbangkan ke Turkiye membabitkan tiga fasa penghantaran bermula hari ini menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

Iklan

"Tujuan utama pengoperasian HMM di Turkiye ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan.

"Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong kerajaan Turkiye melalui bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara itu yang berada dalam kesukaran ketika ini," katanya.

Majlis penghantaran pasukan Op Starlight disempurnakan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, pagi Jumaat.

Iklan

Menurut kenyataan itu, Hospital Medan tersebut akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Jelasnya, Hospital Medan Tahap Tiga itu berkapasiti 60 buah katil yang turut dilengkapi dengan kemudahan wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, radiologi dan makmal.

"Ia juga menawarkan sembilan kepakaran iaitu perubatan primer, orthopedik, pembedahan, anesthesia, maxilo-facial, obsterik dan ginekologi, pediatrik, opthalmologi serta perubatan kecemasan.

"Melalui kemudahan yang disediakan akan membolehkan Hospital Medan tersebut memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kepada mangsa selain mempunyai kapasiti katil untuk mereka yang memerlukan rawatan lanjut," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, keseluruhan pengoperasian Op Starlight juga diletakkan di bawah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom sebagai peneraju operasi dan akan berhubung rapat dengan perkhidmatan lain, agensi dalam dan luar negara dalam melaksanakan misi sejajar dengan peranan serta tanggungjawab yang diamanahkan.