SHAH ALAM - Sebuah syarikat penyelesaian perisian perusahaan global, Tmax berjaya memasang sistem pengurusan pangkalan data Tibero di lokasi pelayan alternatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menurut Penolong Naib Canselor (Infostruktur) UiTM, Profesor Madya Ir Dr Juliana Johari berkata, perlaksaan Tibero bakal meningkatkan imej universiti.
"UiTM amat berpuas hati dengan projek ini kerana penyelesaian pangkalan data dan lokasi alternatif akan menjimatkan kos,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, migrasi ke Tibero dari sistem pangkalan data utama universiti sedia ada berjaya dilaksanakan dan berjalan lancar dengan sokongan daripada Tmax dan rakan kongsi.
"Kesemua data juga dapat diselaraskan dalam masa sebenar di persekitaran pangkalan data yang berbeza,” jelasnya.
Tibero juga membantu UiTM dalam penggunaan sumber yang optimum berkos rendah di samping dapat mempertingkatkan prestasi bagi sistem legasi yang sedia ada.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan SEA-ANZ Tmaz Singapore Pte Ltd, David Kim berkata, projek itu merupakan satu kejayaan Tibero selaras dengan amalan terbaik dalam sektor pendidikan di seluruh negara.
"Pasaran ASEAN termasuk Malaysia adalah sangat penting untuk perniagaan Tmax di peringkat global. Kami sangat gembira dapat memberikan penyelesaian hebat kepada UiTM untuk membantu mereka menyelesaikan cara yang mereka hadapi dalam sistem IT.
Tibero mempunyai keupayaan untuk menampung beban kerja yang kritikal dengan prestasi tinggi serta mempunyai ciri-ciri pangkalan data kelas terbaik seperti Tibero Active Cluster, Tibero Standby Cluster dan Tibero Active Storage.
Justeru, Tibero menjadi pangkalan data pilihan untuk projek itu kerana ia mudah dinavigasi, menyediakan keserasian aplikasi tanpa pengubahsuaian yang besar untuk memaksimumkan prestasi.