PEMAIN hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn menerima keputusan penggantungan untuk mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini dengan hati terbuka.
Meskipun berasa kecewa dan tidak menjangka perkara itu akan terjadi, pemain berusia 26 tahun itu menegaskan akan tetap kekal komited untuk memburu kejuaraan bagi pasukan Negeri Sembilan dalam Saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.
"Sebagai atlet profesional saya akan letak tepi (masalah ini) dan saya akan beri komitmen kepada kelab saya juga, sebab kelab yang jaga saya, saya juga hormati kelab dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
"Sekiranya saya cemerlang di liga dan persatuan memberi ruang kepada saya semula (mewakili negara) saya akan kembali dan saya akan buktikan yang saya masih relevan untuk mewakili negara,” katanya selapas perlawanan Piala Sumbangsih Saingan MHL Wanita 2023 di sini malam tadi.
Hanis Nadiah yang juga Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 itu pada masa sama turut bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan berkenaan selain mengingatkan para atlet negara untuk sentiasa berhati-hati ketika membuat sebarang hantaran dalam media sosial.
Pada Khamis, Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan KHM telah membuat keputusan bahawa Hanis Nadiah digantung dan tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Keputusan itu dibuat berhubung isu komen Hanis Nadiah didakwa berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer dari India AR Rahman di ibu negara, bulan lepas.
Pada perlawanan Piala Sumbangsih MHL Wanita itu, Hanis Nadiah yang mewakili skuad Negeri Sembilan (NSE) berjaya menjulang kejuaraan selepas menundukkan pasukan Uniten Thunder (KPT) 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti. - Bernama