SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn Bhd.
Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tumpuan dan fokus siasatan adalah terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
"Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan tersebut dan sekiranya berlakunya rasuah dan penyelewengan maka ianya tidak akan terlepas dari siasatan SPRM.
"Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan melibatkan perbuatan jenayah. Ianya juga melibatkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah.
"Jika kita lihat ianya berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka," katanya pada Jumaat bagi mengulas dakwaan berhubung ketirisan yang berlaku di UiTM Holdings.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings Sdn Bhd diserahkan kepada SPRM.
Laporan akhbar bertajuk 'UiTM Holdings rugi RM157 juta', yang disiarkan media tempatan itu mendakwa jumlah kerugian itu berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.
UiTM Holdings Sdn Bhd adalah syarikat pegangan pelaburan milik penuh UiTM, yang menguruskan lapan syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi dan kreatif.