IPOH - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kembali pada tahun ini dengan penganjuran lebih besar melibatkan lebih 100 reruai pameran di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini mulai 25 Februari depan.
Pengerusi MATTA Cawangan Perak, Chong Yu Ken berkata, penganjuran kali ini yang akan berlangsung dua hari melibatkan penyertaan lebih 35 pemain industri pelancongan di negara ini
Menurutnya, pada tahun ini juga Tourism Perak, Tourism Malaysia, Tourism Melaka, Tourism Pahang dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama pemain industri pelancongan akan menyertai pameran kali ini.
"Kita juga berharap para pemain industri ini akan terus bersama-sama membantu memulihkan kembali industri pelancongan ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat MATTA Cawangan Perak, di sini pada Jumaat.
Yu Ken berkata, seramai 20,000 pengunjung dijangka hadir ke MATTA Fair kali ini sepanjang dua hari pameran berlangsung.
Pihaknya juga, menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM23 juta sepanjang pameran yang akan dibuka kepada pengunjung dari 10 pagi hingga 9 malam.
Katanya, perasmian akan disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee pada 25 Februari.
"Seperti biasa, pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM300 pada pameran ini layak untuk menyertai cabutan bertuah dan memenangi pelbagai hadiah menarik seperti baucar, tiket penerbangan dan sebagainya.
"Orang ramai boleh melayari dan mengikuti perkembangan MATTA Fair Perak menerusi laman Facebook rasmi iaitu facebook.com/mattaperak untuk mendapatkan maklumat terkini," katanya.
Menurut Yu Ken, pengembara akan disajikan dengan pelbagai pilihan destinasi pelancongan domestik berkaitan budaya, warisan, alam semula jadi, taman negara, aktiviti air dan udara.
Jelasnya, bukan sahaja destinasi pelancongan dalam negara dan negeri Perak tetapi pameran tersebut akan turut menampilkan pakej destinasi pelancongan luar negara termasuk umrah kepada pengunjung.