Dua parah kemalangan babit empat kenderaan

Iklan
Mangsa yang terbakar dibawa keluar oleh unit Hazmat dalam simulasi berkenaan.

KUALA LUMPUR - Dua parah manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Terowong Penchala, Lebuhraya Sprint, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, sebuah lori tangki minyak telah melanggar belakang lori satu tan yang membawa bahan kimia yang terbabas.

Iklan
Iklan

Dua kereta dari arah belakang yang cuba mengelak dari merempuh lori tangki minyak itu turut terbabas lalu terbalik dan meletup.

Itu simulasi latihan kecemasan yang dilakukan oleh Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dengan kerjasama Petron, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Polis Peronda Lebuhraya dan Polis Diraja Malaysia.

Iklan

Latihan melibatkan keanggotaan seramai 250 orang itu mengambil masa lebih satu jam dengan penutupan laluan menghala Damansara.

Mangsa yang terbakar dibawa keluar oleh unit Hazmat dalam simulasi berkenaan.

Unit khas Hazmat turut terlibat dalam latihan itu yang berperanan menangani tumpahan bahan kimia atas jalan raya.

Iklan

Ketua Jabatan Komunikasi Litrak, Shah Rizal Mohd Fawzi berkata, latihan kecemasan tersebut adalah kali ke-12 diadakan untuk meningkatkan kecekapan dalam menghadapi situasi kecemasan.

"Ia sebagai langkah siap siaga ketika berhadapan situasi kecemasan melibatkan penugasan Litrak dan juga agensi penyelamat dalam usaha meningkatkan komunikasi mengikut prosedur operasi menyelamat tanpa mengabaikan pengurusan trafik serta keselamatan pengguna lain.

"Latihan berkala ini juga adalah untuk memberikan mesej kepada pengguna tentang pematuhan keselamatan ketika menghadapi situasi kecemasan," katanya.

Mangsa cedera parah diselamatkan unit khas, Hazmat dalam simulasi berkenaan.

Turut hadir Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba 1 Khairul Azuwan Ibrahim dan Ketua Pengedaran dan Operasi Terminal Petron, Ibrahim Atan.

Ibrahim berkata, Petron sentiasa menitik beratkan pematuhan prosedur keselamatan melalui latihan berterusan bagi menajamkan kemahiran dan prosedur ketika berdepan situasi kecemasan.

"Latihan kecemasan ini akan dipraktikkan ketika menghadapi situasi kecemasan tambahan pula Lebuhraya Sprint antara laluan utama digunakan untuk penghantaran bekalan minyak di stesen sekitar Lembah Klang," katanya.