KUANTAN - Kejadian banjir kilat sejak Isnin lalu telah menyebabkan pekebun di Kampung Ubai di sini berdepan ribuan ringgit apabila tanaman mereka ditenggelami air.
Mohd Khusairy Abdullah, 33 yang mengusahakan tanaman labu manis berkata, lebih 700 daripada 2,000 pokok labu yang sedang berbuah ditenggelami banjir.
Menurutnya, kini pokok terbabit sudah mula layu, bertukar menjadi kuning dan menunggu masa untuk mati.
"Saya tidak jangka banjir boleh berlaku selepas musim tengkujuh dan akibat itu saya alami kerugian lebih RM3,000.
"Tapi, saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ada hikmah di sebaliknya ujian yang ALLAH berikan," katanya yang mengusahakan tanaman labu seluas 3.15 hektar di Kampung Ubai.
Dia berkata, tanaman labu tidak memerlukan modal yang besar namun mampu meraih keuntungan lumayan dalam jangka masa singkat.
Jelasnya, tanaman berkenaan juga tidak mudah diserang penyakit.
"Buah labu manis ini boleh dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM3.00 sekilogram. Pucuk pokok berkenaan turut dijual kepada peniaga pasar tani dan pekan sehari di daerah ini.
"Saya yakin dengan 2,000 pokok labu dia mampu menghasilkan lebih 15 tan buah, pasaran terus kepada pemborong tempatan dan luar Pahang," ujarnya yang memaklumkan harga akan meningkat sekali hingga dua kali ganda apabila pengeluaran berkurangan.
Mohd Khusairy yang memiliki diploma kejuruteraan awam dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), berkata, selain mengusahakan tanaman labu dia turut menanam tembikai dan sayur seperti kacang panjang dan timun selain menguruskan ladang kelapa sawit milik keluarga.
Ujarnya, antara cabaran dalam bidang pertanian ialah perubahan cuaca semasa yang mengundang kepada kejadian banjir kilat di luar musim tengkujuh seperti yang berlaku kelmarin.
"Selepas empat tahun terbabit dalam sektor pertanian secara komersial, kejadian banjir kilat kelmarin antara pengalaman yang mencabar serta menguji semangat saya sebagai petani moden," katanya.
Sementara itu, pekebun, Muhammad Fadhli Osman, 36, pula memaklumkan berdepan kerugian lebih RM30,000 selepas kebun tembikainya yang sedang berbuah seluas lebih satu hektar ditenggelami banjir.
Menurutnya, ini kali pertama kebun tembikai yang diusahakan ditenggelami banjir, walaupun berada di kawasan tinggi namun limpahan air hujan tetap masuk ke kebun.
Dia yang menanam kira-kira 4,500 pokok tembikai jenis boci, buah panjang, buah kuning dan timun betik yang dijangka dapat dituai pertengahan bulan ini namun tidak menjadi kenyataan.
"Pokok tembikai yang terendam dalam air dalam jangka masa lebih 24 jam mati disebabkan lebihan air, selepas banjir surut pokok akan layu dan mati.
"Peluang untuk memungut hasil hampir pasti tidak menjadi kenyataan apabila hampir 90 peratus buah telah rosak kerana terendam dalam air," luahnya.
Bagi Senik Mohd Yusop, 56, pula mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila tanaman tembikai yang diusahakan mula layu selepas ditenggelami air lebih 24 jam semalam.
"Pekebun tembikai di Kampung Ubai tidak menyangka kejadian banjir berlaku selepas memasuki Februari kerana sebelum ini keadaan cuaca mula panas dan berangin.
"Namun berbeza kali ini apabila banjir berlaku awal tahun, taburan hujan berlebihan menyebabkan kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan selama 24 jam," katanya.yang menanam menanam lebih 2,000 pokok tembikai di atas tapak seluas 0.6 hektar yang sedang membesar.