Kerajaan timbang beri insentif kepada peniaga Menu Rahmah

Iklan
Fuziah beramah mesra dengan pelanggan kedai sambil memperkenalkan Menu Rahmah ketika mengadakan tinjauan di Restoran Nasi Kandar Padang Kota di Mydin Mall Taman Rinting, Pasir Gudang pada Jumaat. - Foto Bernama

PASIR GUDANG - Kerajaan sedang menimbang untuk memberi insentif kepada pengusaha makanan yang menyediakan Menu Rahmah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pihaknya sedia berbincang dengan pengusaha makanan berkenaan keperluan dan kekurangan mereka.

Iklan
Iklan

"Sebagai contoh sekiranya pengusaha tersebut ada masalah seperti memerlukan pekerja, kita akan bantu mereka tingkatkan kuota pekerja.

"Kita belum letakkan nilai fiskal (untuk insentif tersebut). Ini (penyediaan Menu Rahmah adalah secara) sukarela untuk sama-sama membangunkan satu ekosistem yang memahami masalah hidup rakyat menangani kos sara hidup," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Padang Kota di Medan Selera Mydin Mall, Taman Rinting, Masai di sini pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedia membantu pengusaha makanan yang berdepan masalah untuk menyediakan menu berkenaan disebabkan tidak dapat menyerap kos barang makanan yang meningkat ketika ini.

Iklan

"Kita sedia berunding dengan mereka, contohnya jika menghadapi masalah bekalan, kita akan bantu mereka. Daripada maklum balas yang kita terima, pengusaha yang menyediakan Menu Rahmah masih mempunyai keuntungan," ujar beliau.

Justeru, pihaknya menyarankan lebih banyak restoran menyertai program Menu Rahmah untuk bersama-sama menyahut seruan dan aspirasi kerajaan dalam membantu rakyat.

Fuziah memberitahu, sehingga kini, 31 persatuan pengusaha restoran melibatkan lebih 12,000 ahlinya sudah menyatakan minat menyertai program Menu Rahmah.

Beliau berharap, inisiatif berkenaan akan berterusan dan menjadi asbab keberkatan kepada peniaga terlibat yang memilih mengurangkan margin keuntungan tetapi mendapat berkat perniagaan.

"Kementerian juga sedang berusaha membangunkan direktori kedai dan restoran yang menjual Menu Rahmah bagi memudahkan pelanggan mengetahui lokasi jualan Menu Rahmah," katanya.

Pada masa ini katanya, pendaftaran premis yang menyediakan Menu Rahmah dilaksanakan di peringkat negeri seperti di Pahang dan Sabah.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai restoran yang mengehadkan waktu penjualan Menu Rahmah, Fuziah berkata, inisiatif itu disertai secara sukarela, namun pengusaha diharapkan dapat menguar-uarkan waktu penjualan untuk pengetahuan pembeli.

"Katakan ada kedai yang boleh menjual Menu Rahmah dari 12 hingga 1 tengah hari, maka ia perlu diberitahu, jadi pembeli tidak kecewa sekiranya mereka sampai makanan masih ada.

"(Bagaimanapun) kita tidak ada elemen paksaan dan mengalu-alukan semua yang terlibat walau sedikit sumbangan, ia banyak bagi kementerian. Kita amat hargai, tetapi kalau lagi banyak pengusaha sertai, pembeli akan ada banyak pilihan,” katanya.

Sebelum ini terdapat sebuah restoran di Bandaraya Johor Bahru menjual menu berkenaan dalam tempoh satu jam sahaja dan ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati serta rasa kecewa orang ramai.