ZPP umum pelarasan tiga skim agihan zakat

Iklan
Ahmad Zakiyuddin (tengah) bersama Amran (kiri) dan Samsudin (kanan) menunjukkan kad laporan prestasi kutipan serta agihan zakat pada 2022.

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengumumkan tiga Skim Agihan Zakat yang ditambah baik melalui pelarasan baharu kadar amaun saguhati antara RM100 hingga RM700.

Pelarasan baharu itu melibatkan Skim Agihan Kewangan Sekaligus, Skim Agihan Kewangan Bulanan dan Skim Agihan Perubatan Rawatan Dialisis.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, bagi Skim Agihan Kewangan Sekaligus, sebanyak RM100 hingga RM200 akan dinaikkan daripada jumlah kadar agihan yang diterima ketika ini.

Menurutnya, pelarasan kadar ini bergantung kepada jumlah tanggungan penerima skim berkenaan.

Iklan

"Anggaran nilai agihan skim ini untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM4.3 juta dengan sasaran penerima seramai 5,000 orang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat ZPP, di Bandar Perda, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Samsudin Bakar.

Iklan

Bagi Skim Agihan Kewangan Bulanan, Ahmad Zakiyuddin berkata, jumlah kadar agihan yang diterima sebelum ini akan dinaikkan RM100 sebulan.

Jelasnya, pelarasan kadar ini juga bergantung kepada jumlah tanggungan penerima skim berkenaan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan agihan adalah sebanyak RM4.08 juta yang mana ia melibatkan penerima seramai 1,200 orang.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, bagi Skim Agihan Perubatan Rawatan Dialisis, jumlah kadar agihan yang diterima sebelum ini iaitu RM1,800 akan dinaikkan kepada RM2,500 iaitu pertambahan RM700 setiap bulan.

Beliau berkata, semua pelarasan kenaikan kadar baharu ini telah berkuatkuasa mulai Januari 2023.

"ZPP berharap pelarasan skim-skim agihan zakat yang diselaraskan ini dapat memberikan kelegaan dan mengukir senyuman kepada penerima manfaat serta keluarga mereka seterusnya membantu dalam menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ekoran situasi ekonomi tidak menentu yang dijangka berlaku sepanjang tahun 2023 ini," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Ahmad Zakiyuddin turut berkongsi prestasi kutipan dan agihan zakat pada tahun lalu yang mencatatkan prestasi yang baik.

Beliau berkata, jumlah kutipan zakat keseluruhannya yang direkodkan adalah RM150,144,855.61 dan jumlah ini meningkat daripada jumlah kutipan zakat pada 2021 dengan kadar lonjakan 1.97 peratus atau RM2,905,083.22.

"Zakat Harta mencatatkan jumlah kutipan RM143,546,763.64 berbanding RM141,219,358.71 pada tahun 2021.

"Peningkatan ini didorong oleh pertambahan jumlah muzakki 2.76 peratus yang mewakili 77,895 muzakki (pembayar zakat) berbanding 75,746 muzakki pada 2021,"katanya.

Tambah beliau, kutipan Zakat Fitrah bagi 2022 juga meningkat 9.59 peratus iaitu RM6,598,091.97 berbanding RM6,020,413.68 pada tahun sebelumnya.

"Agihan zakat pada tahun lalu pula meningkat 9.11 peratus iaitu RM155,178,694.81 berbanding RM142,224,809.10 pada 2021.

"Bilangan penerima zakat atau mustahiq pada 2022 seramai 40,243 orang iaitu penyusutan 1.15 peratus berbanding 40,711 mustahiq pada 2021.