Harga bubu naga murah punca aktiviti haram berleluasa

Iklan
Noraisyah menunjukkan sebahagian bubu naga dirampas pada sidang akhbar di Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Pembelian bubu naga secara dalam talian pada harga jauh lebih murah punca aktiviti menangkap ikan secara haram itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menerusi platform e-dagang, bubu naga boleh didapati dengan harga hanya RM18 semeter dalam pelbagai pilihan saiz.

Iklan
Iklan

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar yang mendedahkan perkara itu berkata, tawaran harga murah antara punca bubu naga terus mendapat permintaan tinggi daripada nelayan.

"Penggunaan bubu naga ini digunakan secara berleluasa terutama di sepanjang pesisir pantai di negeri ini.

Iklan

"Bekalan bubu naga yang murah dan mudah didapati dalam talian antara faktor ia digunakan secara meluas," katanya semasa sidang akhbar di Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Noraisyah berkata, aktiviti menangkap ikan di sekitar satu hingga lima batu nautika itu dipercayai aktif pada waktu tengah malam dan awal pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan nelayan lain.

Iklan

Katanya, kesan implikasi penggunaan bubu naga memusnahkan benih-benih ikan dan udang serta ekosistem sekitarnya.

"Ini boleh menyebabkan berlakunya masalah kekurangan hasil tangkapan dalam tempoh beberapa tahun akan datang," jelas beliau.

Jelas Noraisyah, aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan itu bukan sahaja merosakkan ekosistem malah menimbulkan konflik antara pemilik bubu naga dan nelayan tradisional.

Menurut beliau, rata-rata nelayan tradisional mengeluh berikutan penggunaan bubu naga menjejaskan pendapatan setiap kali turun ke laut.

"Nelayan tradisional menangkap ikan secara sah, manakala individu yang melakukan kegiatan ini pula hanya perlu melabuhkan bubu naga dan kemudian meninggalkannya mengikut pasang surut air," jelas beliau.

Tegas beliau, penggunaan bubu naga dilarang sama sekali kerana mempunyai 20 unjap yang memiliki panjang kira-kira sembilan meter yang boleh disambung sehingga mencecah 30 meter.

"Malah, kita dapati terdapat warga tempatan menggaji pekerja asing untuk menjalankan aktiviti tersebut," kata beliau.

Anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan Selangor membawa turun bubu naga yang dirampas di Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai operasi khas bubu naga yang dijalankan di jeti nelayan sekitar daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Noraisyah berkata, operasi selama dua hari berakhir Jumaat itu berjaya merampas sebanyak 1,435 unit bubu naga bernilai RM86,100 yang merupakan rampasan terbesar sejak lima tahun lalu.

"Operasi ini dijalankan sebagai peringatan kepada semua pihak bahawa Jabatan Perikanan Malaysia tidak akan berkompromi dan membiarkan penggunaan bubu naga ini kerana ianya memberi impak yang memudaratkan kepada sumber perikanan negara.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihak ya mengenal pasti pelbagai modus operandi oleh pengusaha bubu naga telah dikesan melalui operasi yang dijalankan

"Ini termasuklah menyembunyikan bubu di dalam atau di sebalik timbunan tong ais terpakai, menutup premis dan bubu naga menggunakan kanvas atau zink serta menyembunyikan bubu naga di dalam rumah bagi mengaburi mata penguat kuasa.

Katanya, enam pengusaha bubu naga telah diberi amaran keras oleh anggota penguat kuasa perikanan dan pihaknya berharap aktiviti itu dapat dihentikan serta-merta dan tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih keras kepada mereka jika didapati mengulangi kesalahan sama.

"Pemeriksaan dijalankan melibatkan 30 premis di sekitar kawasan jeti Bagan Tengkorak, Kuala Selangor serta jeti Sekinchan dan jeti Sungai Besar, Sabak Bernam," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, operasi penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penggunaan bubu naga dan kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Perikanan 1985.

"Mana-mana pihak yang didapati menggunakan bubu itu boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

"Adalah menjadi satu kesalahan menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.