'Keluarga harap komando Edrin ditemui'

Iklan
Edrin (dua kiri) bergambar bersama ibu bapanya.

MELAKA - Keluarga anggota komando yang dikhuatiri lemas ketika menjalani latihan selaman pada Selasa lalu masih mengharapkan mangsa ditemui selamat biarpun insiden itu telah beberapa hari berlalu.

Mereka sekeluarga masih tidak berputus asa dan berdoa agar jasad Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang hilang ketika menjalani latihan selaman di perairan Pulau Undan, dapat ditemui.

Iklan
Iklan

Abangnya, Andy, 28 berkata, biarpun masuk hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun mereka sekeluarga setia menanti dan berharap adik bongsunya ditemui dengan selamat namun reda dengan segala kemungkinan yang berlaku.

Menurutnya, masih terasa kehilangan adiknya itu yang disifatkan sebagai seorang adik bertanggungjawab terhadap keluarga malah sebelum itu Edrin sempat memindahkan sejumlah wang kepadanya bagi menyelesaikan segala bayaran bil kediaman ibu bapa mereka di Tongod, Sabah pada hujung Januari lalu.

Iklan

Menurutnya, biarpun sibuk menjalani latihan komando namun Edrin juga sempat meluangkan masa membuat panggilan video menghubungi keluarga.

"Kali terakhir kami melakukan panggilan video bersama pada awal bulan lalu sebelum dia menjalani kursus selam itu.

Iklan

"Memang terkejut dan saya hanya mengetahui mengenai berita kehilangan adik bongsu pada jam 4 petang Selasa lalu, melalui aplikasi WhatsApp.

"Saya terus menghubungi sepupu yang juga bertugas yang sama iaitu Kem Iskandar, Mersing bagi mendapatkan pengesahan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Tambah Andy, selepas mengetahui insiden yang menimpa anak kesepuluh itu, dia bersama abangnya yang juga seorang tentera berkumpul di Kem Sungai Udang di sini, bagi mengikuti perkembangan kes kehilangan adik.

"Kebetulan abang juga berkursus di Semenanjung jadi kami empat beradik ditempatkan sementara di kem ini manakala ibu bapa kami masih berada di kampung," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (komando), dikhuatiri lemas ketika menjalani kursus tersebut di 0.7 Barat Daya Pulau Undan.

Mangsa dipercayai lemas bersama peralatan menyelam semasa menjalani kursus tersebut.

Operasi Carilamat telah diaktifkan pada 5.15 petang pada hari yang sama.