KUANTAN - Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sudah melantik kontraktor untuk membangunkan semula projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Jaya Diri, Chenor, Maran.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Johari Harun berkata, kontraktor yang dilantik telah memulakan kerja-kerja awalan pembersihan tapak di PAKR tersebut sejak Disember tahun lalu.
"Bagi kerja-kerja melibatkan struktur bangunan pula akan bermula Jun nanti. Kita sebenarnya tidak pernah mengabaikan projek ini (PAKR)," katanya pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak yang mahu kerajaan Pahang memastikan PAKR di Taman Jaya Diri yang didakwa terbengkalai kira-kira 11 tahun, diselesaikan segera.
Ini kerana pemohon sudah lama menunggu untuk memiliki kediaman itu, malah sebahagian mereka kemungkinan telah meninggal dunia.
Mengulas lanjut, Johari memberitahu sebelum ini satu perjumpaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Mohd Faizal Jaafar diadakan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan perbincangan menyeluruh berhubung projek-projek perumahan, termasuklah PAKR Taman Jaya Diri, Chenor.
"Saya selaku Exco yang diberikan tanggungjawab memegang portfolio perumahan di Pahang akan sentiasa berusaha dan memberi sepenuh tekad untuk memastikan agenda pembangunan perumahan sebagai agenda utama untuk direalisasikan demi kesejahteraan rakyat Pahang seluruhnya," jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan Pahang juga mengambil alih 10 tapak projek perumahan terbengkalai daripada pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan untuk disiap dan dijenamakan semula sebagai Rumah Pahang.
"Selain itu, kita akan mewujudkan program Rumah Mesra Pahang yang akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya.