NEW YORK - Bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence telah disapina oleh peguam khas yang menyelia siasatan terhadap bekas presiden Donald Trump, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media pada Khamis.
Media AS memetik sumber sebagai berkata, bahawa peguam khas Jack Smith sedang meneliti dokumen dan keterangan mengenai insiden serangan ke atas bangunan Capitol (Kongres) pada 6 Januari 2021.
Iklan
Iklan
Smith mengetuai siasatan Jabatan Kehakiman terhadap dokumen sulit yang dijumpai di kediaman Trump di Mar-a-Lago di Florida dan siasatan berasingan melibatkan insiden 6 Januari.
Penyokong Trump bertindak ganas mengepung bangunan Capitol lebih dua tahun lalu, merempuh penghadang dan menyerang polis sebelum menceroboh bangunan yang disifatkan oleh ramai rakyat Amerika sebagai benteng demokrasi.
Trump memohon agar penyokongnya berkumpul di ibu negara itu meskipun dakwaannya masih belum terbukti mengenai penipuan dalam pilihan raya presiden pada 2020 yang mengakibatkan beliau kalah kepada Joe Biden dengan lebih tujuh juta undi.
Lima orang maut akibat keganasan pada 6 Januari itu. - Bernama