SHAH ALAM - Kerajaan digesa tidak campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membuat andaian sendiri terhadap jumlah wang yang didakwa diselewengkan.
Pemerhati dan penganalisis politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, kerajaan perlu menyerahkan sepenuhnya siasatan dilakukan oleh pegawai SPRM yang terlatih.
"Jangan kita berteka-teki dan membuat andaian berkaitan penyiasatan SPRM. Sekejap rasuah RM600 billion selepas itu turun kepada RM92.5 bilion, selepas itu RM5 billion dan sekarang dikatakan RM300 juta selepas ini berapa lagi diskaun.
"Rakyat tidak mahu dengar andaian-andaian dan teka-teki ini semua. Jangan kita mendahului penyiasatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, rakyat sedang menilai prestasi kerajaan dalam urusan tadbir dan merangka dasar serta polisi demi kepentingan rakyat.
"Hal yang melibatkan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan ditawarkan sepanjang tempoh berkempen.
"Menteri yang dilantik sekarang perlu memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap kementerian di bawah mereka dan kurangkan berpolitik.
"Jika mereka tidak memberi tumpuan ke atas kerja mereka sudah tentu pelbagai masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan dan rakyat akan terus menderita,”