KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
Hasmuni turut memperkenalkan pasukannya dianggotai beberapa individu untuk bertanding jawatan lain pada pemilihan UMNO yang diadakan tidak lama lagi.
Ahli pasukannya itu terdiri daripada Mohd Hairi Mad Shah yang bertanding untuk jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh (Setiausaha Pemuda UMNO), Mohd Naim Mokhtar (Bendahari Pemuda UMNO) dan Mohammad Sollehin Mohamad Tajie (Ketua Penerangan Pemuda UMNO).
Hasmuni juga ingin memohon sokongan daripada semua perwakilan Pemuda di seluruh negara bagi memastikan parti itu akan terus bangkit selain tetap meneruskan legasi perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
"Fokus utama pasukan saya adalah untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti selain memastikan sokongan anak muda kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Insya-ALLAH selepas menang (pemilihan UMNO), kita akan rangka strategi bagi memastikan sokongan anak muda kembali pada UMNO dan BN," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Pemilihan UMNO 2023 diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.
Sementara mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
Dalam pada itu, Hasmuni menyatakan sebab beliau memilih pasukan berkenaan susulan semangat 'bangkit' kembali yang ditonjolkan oleh mereka sepanjang penggal ini.
"Mereka bersungguh-sungguh untuk pastikan UMNO kembali berada di persada sebenar.
"Pasukan ini mempunyai semangat bangkit kembali yang dibawa selepas kekalahan UMNO pada PRU14 dan selepas itu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil alih Pemuda UMNO.
"Jadi pasukan ini juga membawa semangat tersebut dan akan meneruskan semangat untuk terus bangkit," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai saingan dari calon lain, beliau menghormati setiap calon yang akan bertanding pada pemilihan jawatan berkenaan.
"Saya hormati calon-calon lain dan ini adalah demokrasi dalam UMNO.
"Mereka yang cukup syarat boleh tawarkan diri untuk sebarang jawatan," jelasnya.