68 peratus puas hati prestasi Anwar sebagai PM

Iklan
Anwar Ibrahim - Foto Bernama

SHAH ALAM - Berdasarkan kajian dilakukan Merdeka Center menunjukkan 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua bulan menerajui negara.

Tinjauan membabitkan1,209 pengundi pelbagai kaum itu dijalankan bermula 26 Disember hingga 15 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Merdeka Center berkata, kajian itu juga mendapati, 54 peratus responden berpuas hati dengan prestasi baharu kerajaan Persekutuan dan hanya 25 peratus menyatakan tidak berpuas hati.

Menurutnya, hampir suku daripada responden itu pula enggan memberi pandangan yang menjadi petunjuk bahawa mereka mengambil sikap berhati-hati selepas empat tahun berdepan ketidaktentuan politik di negara ini.

Iklan

Kata kajian itu lagi,, walaupun timbul sikap berwaspada, responden masih menunjukkan tanda optimis apabila 48 peratus daripadanya yakin negara menuju ke haluan betul berbanding 20 peratus berpandangan sedemikian pada Oktober lalu.

"Sebanyak 43 peratus responden optimis mengenai ekonomi negara pada tahun mendatang dan 38 peratus yakin berhubung prospek kewangan peribadi mereka.

Iklan

"Sikap ‘tunggu dan lihat’ mungkin didorong kebimbangan kuat berhubung pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup yang dinyatakan masing-masing 20 dan 19 peratus sebagai isu perlu ditumpukan kerajaan baharu,” katanya.

Dapatan itu turut menunjukkan sejumlah 79 peratus responden mengalu-alukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 77 peratus yakin Kerajaan Perpaduan mampu membawa kestabilan dan inklusif dalam politik negara.

Merdeka Center menjelaskan, keputusan kaji selidik menunjukkan pengundi Malaysia cenderung meletakkan ketidaktentuan membelenggu politik negara ke belakang dan bergerak dengan memberi ruang kepada pimpinan baharu membuktikan kemampuan.

"Rasa puas hati rakyat akan ditentukan menerusi sejauh mana kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi dan peningkatan kos sara hidup," jelasnya.

Katanya, penerimaan masyarakat terhadap semakan semula bajet persekutuan yang dijadual dibentangkan pada 24 Februari ini menjadi faktor penting memacu maklum balas rakyat kepada pentadbiran baharu.