SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk membangunkan platform digital bagi memudahkan rakyat membuat sebarang maklum balas terhadap perkhidmatan di agensi kerajaan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ia selaras dengan saranan Kementerian Sumber Manusia (KSN) dalam memastikan ketelusan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) di setiap kementerian.
Ujar beliau, respons di platform tersebut bagaimanapun perlu diteliti sebaik mungkin bagi memastikan kesahihannya dan bukan sekadar menjadi khabar angin.
"Ia perlu disokong dengan fakta dan bukti supaya keaslian respons rakyat itu benar-benar ditangani dengan efektif oleh pihak yang bertanggungjawab dan perlu diaudit agar pelaporan pencapaian adalah seimbang dengan realiti semasa di lapangan.
Adnan menambah, Cuepacs juga mencadangkan supaya sistem ganjaran kepada staf bawahan di agensi kerajaan dapat diusahakan pada setiap hujung bulan, sekiranya perkhidmatan yang diberikan mereka adalah berkualiti.
Jelasnya, ganjaran tersebut terdiri dari segi pemberian cuti dan beberapa perkara yang dilihat sebagai menarik untuk ditawarkan.
"Menerusi perkara ini, semangat kerja mereka boleh berubah dan hasil lebih pantas. Tapi pada masa yg sama yang tidak penuhi KPI akan menerima tindakan tatatertib atau hukuman,” kata beliau.