HONG KONG - Seorang pembantu rumah Indonesia yang dipukul dan dibakar oleh bekas majikan di Hong Kong telah diberikan ganti rugi lebih AS$110,000 (RM476,000) pada Jumaat.
Penderaan dilakukan terhadap Kartika Puspitasari,40, menjadi tajuk utama berita sejak sedekad lalu dan mencetuskan gesaan untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pekerja asing wanita yang datang ke Hong Kong untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Majikannya didapati bersalah dan dipenjarakan pada 2013 selepas perbicaraan mahkamah mendapati Kartika dibakar dengan seterika, dipukul dengan rantai basikal dan menyerangnya dengan pemotong kertas sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan trauma.
Amah tersebut didera selama dua tahun dan diberikan layanan buruk oleh majikannya dan rahsia itu terbongkar selepas dia mendapatkan perlindungan konsular.
Pada Jumaat, seorang hakim memutuskan bahawa Kartika telah dilayan secara tidak berperikemanusiaan dan memberi ganti rugi HK$868,607.
Sementera itu di rumahnya, Kartika berkongsi berita gembira dengan suami dan tiga anaknya di Padang, Pulau Sumatera sambil menitiskan air mata selepas menerima berita menerusi panggilan video.
"Saya menunggu selama 10 tahun dan akhirnya doa saya dimakbulkan," katanya yang turut berterima kasih kepada peguam dan rakan-rakanya.
Bagaimanapun, Kartika didiagnosis dengan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) menambah wang itu tidak setanding kecederaan fizikal dan mental yang dialaminya. - AFP