PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan jawatannya bagi penggal 2023 hingga 2026.
Selepas pencalonan ditutup pada jam 3 petang Jumaat, Abu Samah disahkan menang tanpa bertanding, sekali gus menerajui PKBM bagi penggal kesembilan berturut-turut.
Kejayaan Abu Samah itu turut menangkis khabar angin kononnya beliau akan dicabar wakil dari Terengganu, Mazlan Md Jail buat kali pertama sejak 1990.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berterima kasih kepada semua persatuan negeri yang masih memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin PKBM.
"Saya tak tahu nak cakap bagaimana. Saya cuma ingin berterima kasih kepada semua persatuan negeri yang masih inginkan kepemimpinan saya.
"Saya akan memikul beban sebagai Presiden PKBM sehingga 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat malam.
Kenyataan yang dikeluarkan PKBM turut mengesahkan Mazlan bakal mencabar Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim yang akan mempertahankan jawatannya untuk kali pertama selepas menang pada 2018.
Setiausaha Agung PKBM, Ibrahim Mustapa turut mengesahkan Naib Presiden, Datuk Amarjit Singh akan merebut jawatan Timbalan Presiden PKBM.
Namun, wujud petanda Amarjit bakal menarik diri dan hanya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden yang turut menyaksikan nama besar iaitu bekas menteri kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanding.
Untuk rekod, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali dengan panggilan KJ pernah memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kesihatan dan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) itu dijangka berdepan laluan sulit selepas tiga penyandang Naib Presiden, Firdaus Arshad, Mohd Shaiful Abd Jalil dan Amarjit bakal mempertahan jawatan masing-masing.
Lima lagi calon yang turut menerima pencalonan untuk jawatan Naib Presiden PKBM ialah Mohd Asril Abd Mubin, Mohd Yusof Abd Nasir, Muhammad Firdaus Daud, Norazman Abd Wahab dan Dr Zaim Ahmad.
Namun, dipercayai Norazman sudah membayangkan bakal menarik diri daripada bertarung jawatan Naib Presiden PKBM.