PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Majlis Ilmu Seri Perdana di Seri Perdana di sini, sebaik tiba di tanah air usai mengadakan lawatan rasmi ke Thailand.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 9 malam, meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama hampir 200 tetamu yang terdiri daripada komuniti sekitar Seri Perdana.
Walaupun baru 'mendarat' di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Anwar kelihatan mesra menyantuni para hadirin diiringi alunan selawat.
Salah seorang hadirin, pendakwah bebas Abd Hadi Bakri Abdullah berkata, semasa berbual bersama, Anwar teruja berkongsi hasil lawatannya di Thailand selama dua hari bermula semalam.
"Beliau berkata masyarakat Islam di Bangkok menerima baik konsep Malaysia Madani yang digagaskan beliau.
Kemudian beliau juga ada menjemput saya untuk menghadiri lagi majlis ilmu seperti ini di sini," katanya.
Tazkirah malam ini bertajuk"Ihsan Dari Perspektif Islam" disampaikan Dr Razali Nawawi, bekas profesor"Ahmad Ibrahim Kulliyah of Laws” - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - Bernama