GERGASI Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menyingkap kempen mempertahankan kejuaraan Piala FA 2023 menentang PDRM FC dalam pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dijadualkan bermula 7 Mac depan.
Majlis undian yang berlangsung hari ini menyaksikan JDT bersama lima lagi pasukan teratas Liga Super musim lepas iaitu naib juara Piala FA 2022, Terengganu FC (TFC), Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC, selain dua pasukan teratas Liga Premier 2022, Kelantan FC serta Kuching City FC mendapat slot automatik ke pusingan 16 atau kedua selain menjadi tuan rumah.
Iklan
Iklan
Tiga pasukan terbawah Liga Super 2022, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC pula terpaksa bertarung merebut slot ke pusingan 16 bersama tiga pasukan terbawah Liga Premier musim lepas serta enam lagi pasukan Liga M3 dalam pusingan pertama.
Bagaimanapun, format undian menetapkan empat daripada baki 12 pasukan yang akan merebut slot ke pusingan 16 mendapat 'bye' sekiranya diletakkan dalam posisi sembilan hingga 12 dan terpaksa berkunjung ke gelanggang lawan.
Situasi itu menyaksikan TFC tidak berdepan masalah untuk ke suku akhir apabila mendapat laluan mudah menentang pasukan Liga M3, Melaka FC yang mendapat 'bye', manakala Sabah FC akan berentap dengan satu lagi pasukan Liga Premier, Kelantan United FC yang turut mendapat 'bye'.
Kedah, yang juga menjuarai Piala FA sebanyak lima kali pula akan bertemu Penang pada pusingan pertama bagi menentukan tempat ke pusingan seterusnya menentang Kuching City FC.
Naib juara Liga Premier 2022, Kelantan FC pula akan membuat perhitungan bersama pemenang pusingan pertama melibatkan dua pasukan Liga M3 iaitu Manjung City FC dan Sains FC, manakala KL City akan melawan pasukan Liga M3 sama ada Imigresen FC atau Kuala Kangsar BRM FC yang bertemu pada pusingan pertama.
Artikel Berkaitan