SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan orang ramai tidak akan disaman sekiranya tidak memuat naik aplikasi MyJPJ selain tidak dapat menunjukkan cukai jalan secara digital ketika penguatkuasaan dilaksanakan.
Anthony berkata, ia berikutan penguat kuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam gajet penguatkuasaan.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya.
Dalam kenyataan itu beliau turut memberi pencerahan mengenai soalan-soalan yang sering ditanya berhubung isu pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing bermula Jumaat.
"Selepas pengumuman pelekat cukai jalan tidak lagi diwajibkan untuk dipaparkan di cermin kenderaan, saya tahu ramai mempunyai pelbagai persoalan maka saya akan memberikan pencerahan kepada soalan-soalan yang sering ditanya.
"Tidak wajib memuat naik aplikasi MyJPJ kerana ia hanya salah satu opsyen untuk mendapat salinan digital cukai jalan dan lesen memandu.
"Cukai jalan dan lesen memandu masih perlu dibayar selepas tempoh sah tamat, hanya pelekat tidak perlu ditampal," katanya.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan mod paparan digital.
Anthony berkata, paparan digital tersebut boleh didapati melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.
Dalam pada itu, Loke memberi jaminan warga emas tidak perlu berasa khuatir sekiranya tiada telefon pintar dan kawasan didiami tiada liputan internet.
Mengenai persoalan sekiranya kereta bukan dipandu oleh pemilik dan bagaimana untuk menunjukkan cukai jalan secara digital itu, beliau menjelaskan cukai jalan tersebut boleh dicetak dalam kertas dan disimpan dalam kereta.
"Namun kalau tidak dapat tunjuk bukti sekali pun, ia bukan satu kesalahan. Pihak penguat kuasa akan semak butiran dalam gajet mereka," katanya.
Anthony juga menjelaskan terdapat pengguna tidak dapat mengakses aplikasi MyJPJ sejak pagi tadi susulam trafik yang tinggi disebabkan ramai orang ingin mendaftar pada masa yang sama.
"Saya sedar dalam apa sahaja proses perubahan, ia akan mengambil masa untuk disesuaikan. Ada pihak yang tidak akan setuju dengan perubahan tersebut.
"Saya menghormati semua pandangan dan cuba menguruskan perubahan sebaik mungkin," tambahnya.
Justeru, beliau bersama pasukannya di kementerian dan JPJ akan cuba memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul dalam proses perubahan berkenaan.
"Sama-sama kita menuju ke arah lebih baik," ujarnya.