'Memang belum selesai, rundingan masih berjalan'

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat. (Gambar kecil: Khalid)

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengakui proses penjualan saham kepada firma perunding kewangan, Rinani Group Berhad (Rinani) untuk memiliki kelab Kuala Lumpur (KL) City FC masih belum selesai sepenuhnya.

Presidennya, Khalid Abdul Samad berkata, proses itu diusahakan dengan gigih oleh Rinani yang menunjukkan minat amat tinggi untuk memiliki hak secara sah KL City FC.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses rundingan penjualan masih berjalan dan tawaran Rinani telah dimuktamadkan seperti terkandung dalam 'Term Sheet' atau senarai terma yang ditandatangani semasa Piala Menteri Wilayah Persekutuan pada 4 Februari.

Tambahnya, majlis menandatangani dokumen tersebut menyenaraikan terma-terma yang akan dimasukkan ke dalam perjanjian penjualan saham yang sedang dirangka.

Iklan

"Pada 3 Februari, KLFA ada bincang lagi dengan Rinani untuk masukkan beberapa syarat dan kemudian pada 4 Februari diadakan majlis tandatangan senarai terma itu.

"Dimasukkan beberapa syarat termasuk penjualan 51 peratus melibatkan RM5.1 juta daripada harga nilai KL City yang dianggarkan sebanyak RM10 juta.

Iklan

"Ia belum selesai sepenuhnya. Tertakluk kepada beberapa perkara termasuk 'due deligence' atau 'siasatan terperinci' yang akan dilakukan.

"Perjanjian penjualan saham mesti ditandatangani dalam tempoh sebulan dari tarikh ditandatangani senarai terma tersebut," katanya kepada Sukan Sinar pada malam Khamis.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar menafikan Rinani sebagai pemilik baharu KL City FC ekoran ada beberapa perkara belum diselesaikan.

Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan, cadangan penjualan saham sudah dibincangkan pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa KLFA awal 2020 selaras dengan tuntutan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar pasukan diswastakan.

Katanya, perbincangan pada ketika itu dilakukan dengan sebuah syarikat lain dan nilai KL City yang dipersetujui adalah sebanyak RM10 juta.

Malah katanya, syor untuk menawarkan saham kepada Rinani juga telah disentuh dalam mesyuarat Exco KLFA pada 31 Januari lalu.

"Nak kata langsung tak beritahu dan tak bincang adalah tak benar. Tetapi pada masa tu tawarannya belum muktamad dan terma sedang dirangka. Maka bincang secara rasmi dan sebagai agenda khas memang belum.

"Saya sudah beritahu mengenai soal menjual saham KL City dan semua setuju nak jual kerana kita nak kurangkan tanggungan KLFA terhadap kelab. Namun ada Exco (KLFA) yang meminta harganya dinaikkan" tambah beliau.

Justeru, beliau memberitahu akan membawa hal tersebut ke mesyuarat Ahli Jawatankuasa KLFA sebelum Liga-M bermula dalam tempoh dua minggu ini.

"Maknanya perjanjian jual beli saham itu belum lagi disiapkan, sedang dirangka dan hanya syarat utama dimasukkan dalam senarai terma yang ditandatangani.

"Pada mesyuarat itu nanti kita akan perincikan syarat dan dapatkan persetujuan daripada Ahli Jawatankuasa Exco KLFA," katanya.