JERANTUT - Orang ramai berpeluang untuk mempelajari dan menanam anggur yang boleh dijadikan hobi atau pendapatan sampingan di kediaman masing-masing.
Usaha itu akan dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) yang bakal mengadakan kursus tanaman tersebut pada Jun depan.
Pengarahnya, Muhd Rizal Baharom memberitahu, ia berikutan sudah banyak bukti tanaman itu boleh membuahkan hasilnya dan tidak sukar ditanam seperti yang selalu dianggap oleh rakyat di negara ini.
Menurutnya, ia bergantung dengan teknik tanaman yang betul dan sesuai dalam usaha untuk mengeluarkan hasilnya.
"Kita akan menganjurkan kursus itu pada Jun depan iaitu dua kali seminggu dengan mengenakan sedikit bayaran kepada orang ramai yang berminat.
"Ia tidak terhad kepada tanaman hobi pinggir rumah semata-mata tetapi juga kepada yang ingin menanam secara komersial," katanya lagi.
Beliau memberitahu, kursus sehari itu untuk 20 peserta dijalankan secara teori dan praktikal di Pusat Pertanian Temin di sini dan akan diberi penerangan tentang varieti anggur yang boleh berbuah di negara, media tanaman, pembajaan, kawalan penyakit, dan teknik membuahkan anggur.
"Kita juga hendak menjadikan anggur Temin sebagai satu tempat tarikan baharu di daerah Jerantut," tambah beliau
Dalam pada itu, beliau memberitahu tanaman anggur boleh ditanam di atas tanah atau pasu dan tidak memerlukan kawasan yang luas terutamanya di kawasan perumahan yang mempunyai kawasan terhad.
"Ini telah dibuktikan oleh seorang penduduk di Perumahan Awam Kos Rendah, Batu Embun dekat sini, Syed Norhaimi Syed Zin, 58, yang menanam pelbagai jenis anggur di kawasan rumahnya yang sempit.
Ujar Muhd Rizal, jabatan itu juga telah menggunakan kepakaran Syed Norhaimi untuk menanam di dua lot kawasan seluas 20x40 meter setiap satu dengan 32 spesies anggur dari pelbagai negara di Pusat Pertanian Temin di sini.
"Antara spesies anggur yang ditanam ialah Jupiter, Glasha, Heliodor, Baikonor, Ninel, Krasava, Lorano, Dixon, Jubilee, Krasotka, Banana dan Velez," ujar beliau.
Sementara itu, Syed Norhaimi memberitahu, pengalamannya selama tiga tahun itu berbaloi apabila beliau kini berhasil menikmati buah anggur dalam masa enam bulan sahaja selepas ditanam.
"Anggur varieti Jupiter adalah yang paling sesuai ditanam di kawasan rumah kerana selain mudah berbuah dan berbuat lebat, ia juga manis, beraroma markisa dan berperisa laici," katanya yang mula menanam anggur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.