SHAH ALAM - Pengiktirafan dalam bentuk anugerah mampu menjadi pendorong kepada sesebuah perniagaan untuk meningkatkan lagi daya saing dan kualiti produk.
Pengasas KZ Sdn Bhd, Kevin Zahri Abdul Ghafar berkata, Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang dianjurkan oleh Sinar Harian juga bakal menjadi pemangkin kepada masa depan industri secara keseluruhan.
Sebagai selebriti dalam bidang perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan, beliau akan terus berusaha memberi kesedaran tentang gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
"Memandangkan Malaysia juga tersenarai antara negara yang turut berdepan masalah obesiti, perjalanan kami dalam bidang ini masih jauh lagi.
"Apa pun, dengan pengiktirafan anugerah ini, kami sangat bersyukur kerana ia memperkuat lagi kempen kami dalam memberikan perkhidmatan latihan penurunan dan penjagaan berat badan tanpa menggunakan sebarang produk,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pelbagai sektor terlibat dalam penganugerahan ini antaranya perkhidmatan, peruncitan, pendidikan, kesihatan, teknologi dan kepenggunaan.
Sementara itu kata Kevin, usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dinasihatkan untuk kekal positif dalam mendepani cabaran ekonomi yang masih tidak menentu.
Ujarnya, cabaran berkenaan harus dijadikan sebagai satu langkah untuk lebih memajukan perniagaan.
"Setiap pemain industri tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai ujian dalam memastikan kelangsungan perusahaan.
"Tidak kira berapa lama usia perniagaan kita, memang akan ada naik turunnya.
"Ketika stabil dan baik, kita mungkin senang tetapi apabila datang masalah terutama kemelesetan ekonomi, kita perlu berusaha untuk selesaikan.
"Sebelum Covid-19, saya menjalankan kelas berkaitan penjagaan kesihatan dan diet harian secara bersemuka. Ketika wabak melanda, saya lancarkan kelas secara dalam talian.
"Meskipun agak sukar pada awal, tapi ia mewujudkan satu platform baharu dalam perniagaan yang saya jalankan.
"Jadi, saya nasihatkan kepada para peniaga di luar sana, sambutlah segala cabaran yang ada dan bersedia dengan segala perubahan dan kemungkinan,” kata beliau.