SHAH ALAM - Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) hanya akan mengharapkan pulangan pelaburan tinggi dari institusi berkenaan susulan tidak dapat menunaikan haji akibat tempoh giliran menunggu yang begitu panjang.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, perkara itu memberi tekanan kepada TH untuk memastikan dapat mencatat keuntungan malah akan menyebabkan ia lari dari matlamat sebenar penubuhan institusi kewangan Islam berkenaan.
"Tujuan asalnya adalah menabung sehingga sampai tunggu masa menunaikan ibadat haji. Namun apabila tidak dapat pergi ke Makkah disebabkan tempoh giliran lama, maka mereka lebih mengharapkan pulangan tinggi sekali gus memberi tekanan kepada TH dan membuatkan ia lari dari konsep sebenar TH itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Di Sebalik Isu Bersama FY 'Mampukah Tabung Haji terus subsidi jemaah' yang dihoskan Finaz Yunus.
Turut menjadi panelis pada program itu ialah pendakwah bebas, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin.
Nik turut menjelaskan beberapa sebab tempoh giliran menunggu untuk menunaikan haji menjadi lama antaranya adalah pemberian subsidi itu sendiri.
"Apabila bayaran dikenakan tak sama dengan kos sebenar maka ramai yang dikira mampu untuk menunaikan haji.
"Selain itu syarat untuk daftar haji hanya dengan deposit minimum RM1,300. Ini menyebabkan ramai ibu yang mendaftarkan anaknya sejak bayi lagi untuk pendaftaran haji sekali gus menjadi antara sebab tempoh menunggu haji itu menjadi lebih lama," jelasnya.
Dalam pada itu, Nik berkata, setakat ini TH masih mencatat keuntungan pada setiap tahun.
"Cuma apabila berlaku situasi ekonomi yang tidak cerdas dan pulangan pelaburan yang rendah maka ia beri kesan pada pulangan deposit. Saya berpendapat isu tersebut boleh dibincangkan.
"Namun tempoh menunggu tunaikan haji itu lebih kritikal kerana ia menyebabkan orang yang ada duit dan sudah wajib dari segi syarat tetapi tidak dapat kuota (tunaikan haji) sedangkan orang yang tidak cukup duit untuk bayar kos sebenar itu dapat pergi (Makkah)," jelasnya.
Justeru, beliau mencadangkan perlu ada perbincangan di kalangan ulama berkenaan permasalahan tersebut kerana ia merupakan isu nasional selain terdapat banyak pandangan mengenai kemampuan untuk menunaikan haji.
"Jadi perkara itu perlu dibincangkan semula. Lama kelamaan kita lihat kos haji semakin naik dan tidak pelik jika kos itu akan capai sehingga RM50,000.
"Jadi sampai bila kita nak tangguhkan keputusan tanpa perlu ada penyelesaian secara adil untuk membolehkan individu yang berkemampuan dan telah meletakkan duit di TH serta wajib dari segi syarak untuk pergi menunaikan ibadat haji," jelasnya.