KUALA TERENGGANU - Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu dalam Pemilihan UMNO 2023.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu turut menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dalam pemilihan tersebut.
"Saya menawarkan diri kerana saya sayangkan UMNO.
"Tidak ternilai jasa UMNO pada negara ini dan kini parti ini memerlukan nafas baru dalam usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO," katanya melalui kenyataan dalam Facebook beliau.
Najmil Faiz berkata, beliau memahami apa diperlukan UMNO untuk kembali bangkit kerana telah melalui sejarah zaman kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.
Ketika itu katanya, ramai pemimpin UMNO dan ahli parti berpaling tadah dan meninggalkan parti kerana tidak sanggup mengambil tanggungjawab ketika UMNO berada dalam keadaan paling lemah.
Namun begitu, beliau mengambil tanggungjawab memikul peranan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Exco Pemuda UMNO di peringkat pusat.
"Pengalaman sebelum ini sebagai Ketua Pemuda Bahagian dan juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri juga banyak mengajar saya perjuangan dalam mengurus UMNO serta memahami denyut nadi orang muda dan rakyat.
"UMNO sentiasa relevan dan memerlukan keikhlasan serta pengorbanan daripada ahli yang setia untuk mengembalikan keyakinan rakyat," katanya.