PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tidak berhasrat meninggalkan pasukan selepas kelab itu didakwa atas 100 pelanggaran peraturan kewangan oleh Liga Perdana Inggeris (EPL).
City berkemungkinan berdepan pemotongan mata atau pun tersingkir daripada liga utama Inggeris jika mereka didapati bersalah atas dakwaan pelanggaran ketika musim 2009-10 dan 2017-18.
Guardiola sebelum ini berkata, dia akan berundur jika mendapati dia telah dibohongi oleh pengurusan City berhubung dakwaan mereka melanggar peraturan financial fair play (FFP).
Bagaimanapun, Guardiola yang telah memenangi empat kejuaraan EPL dalam tempoh lima tahun lalu percaya kes terbaharu itu akan berakhir dengan cara yang sama seperti pertuduhan UEFA sebelum ini.
City telah diharamkan selama dua tahun daripada pertandingan UEFA pada Februari 2020 oleh badan induk bola sepak Eropah kerana pelanggaran fair play kewangan yang serius, tetapi sekatan itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan pada akhir tahun itu.
"Fikiran pertama saya ialah kami telah pun dikecam. Sekiranya kami tidak bersalah, kami akan menerima keputusan hakim atau Liga Perdana.
"Tetapi apa yang berlaku jika dalam situasi yang sama seperti (kes) UEFA, kami tidak bersalah? Apa yang akan berlaku untuk memulihkan atau membayar balik kerosakan imej kami?.
"Saya tidak berganjak dari tempat duduk ini. Saya boleh memberi jaminan lebih daripada sebelumnya saya mahu kekal," katanya.