KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan takziah serta doa kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan susulan bencana gempa bumi yang menimpa Turkiye Isnin lepas.
Menurut ciapan dalam Twitter rasminya pada Sabtu, Anwar memaklumkan beliau telah berhubung dengan Presiden Turkiye sejurus tiba dari Bangkok, Thailand selepas lawatan rasmi dua hari ke negara jiran itu yang bermula pada Khamis.
Iklan
Iklan
Perdana Menteri dalam sidang media pada Rabu memaklumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih AS$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.
Sementara itu, Malaysia telah menghantar dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu pada Isnin dan Rabu lepas.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Tiga ke Turkiye untuk tempoh enam minggu bagi memberi bantuan kemanusiaan.
Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria telah meragut lebih 23,000 nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. - Bernama