Masiung sah dilantik Naib Presiden Gagasan Rakyat

Iklan
Masiung (kiri) bersama rombonga di KKIA sejurus tiba dari lawatan di Manila, Filipina.

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah menafikan beliau enggan menerima jawatan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diberikan kepadanya.

Sebaliknya, Masiung berkata, beliau kini bukan lagi ADUN Bebas, sebaliknya sebagai ahli Gagasan Rakyat yang kini dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.

Iklan
Iklan

"Saya tidak akan menoleh kiri dan kanan lagi, cukuplah jadi buruan parti-parti politik selama tiga tahun.

"Kali ini saya bukan lagi wakil rakyat Bebas. Saya sudah sah menerima jawatan Naib Presiden Gagasan Rakyat," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, pada malam Jumaat.

Iklan

Masiung yang baru tiba dari Manila, Filipina, berkata demikian selepas timbul khabar angin enggan menerima jawatan tertinggi parti walaupun namanya telah disenaraikan bersama dua lagi Naib Presiden Gagasan Rakyat.

Beliau yang tidak mengetahui wujudnya khabar angin itu meminta semua pihak termasuk penyokongnya untuk tidak terpengaruh apa yang disebarkan.

Iklan

Masiung dalam pada itu turut berazam memainkan peranan yang aktif membantu pucuk pimpinan parti tempatan itu di peringkat domestik dan nasional.

"Saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat kerana membawa saya dalam wadah perjuangan baharu.

"Sebaik sahaja mendapat arahan, kita akan memperluaskan sayap Gagasan Rakyat di semua peringkat berdasarkan perlembagaan parti," katanya.

Sebelum itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri mengumumkan bahawa beliau secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan Gagasan Rakyat.

Kepimpinan Gagasan Rakyat dibarisi oleh Datuk Seri Masidi Manjung sebagai Timbalan Presiden, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Naib Presiden I), Datuk Rubin Balang (Naib Presiden II) dan Masiung (Naib Presiden III).