MELAKA - Persepsi bahawa aplikasi khas MyJPJ akan menyusahkan golongan warga emas dan veteran nyata tidak berasas sebalik.
Tinjauan yang dilakukan rata-rata golongan tersebut bersikap terbuka malah gembira apabila aplikasi digital terbabit akan memudahkan urusan mereka.
Bagi pesara swasta dari Durian Tunggal, K Sivasangaran, 62, mengakui sebelum ini sudah banyak aplikasi digital yang diwujudkan dan ia bukanlah perkara baharu dalam kalangan golongan sepertinya.
Menurutnya, kerajaan memberi pilihan sama ada pengguna mahu menggunakan aplikasi tersebut ataupun menggunakan lesen memandu fizikal.
"Ia akan memudahkan sekiranya kita berdepan situasi terlupa membawa dompet atau kehilangan dompet.
"Jadi tidak ada alasan dan tak perlu takut sekiranya ditahan pihak penguat kuasa memandangkan semua data berkaitan lesen serta cukai jalan berada dalam aplikasi terbabit," katanya ketika ditemui dalam sini, pada Sabtu.
Pesara guru, Siti Hawa Abdullah, 65, pula berkata, zaman sekarang orang lebih membawa telefon bimbit berbanding dompet kerana di dalamnya terdapat pelbagai aplikasi yang dimuat turun untuk memudahkan urusan seharian.
"Jadi aplikasi ini juga akan memudahkan urusan dengan JPJ.
"Cuma harap sistem aplikasi ini sentiasa dinaik taraf dan fungsi penggunaannya menjadi lebih mudah dari masa ke masa," jelasnya.
Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan mod paparan digital melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.