PONTIAN - Pelbagai reaksi diberikan orang awam susulan tindakan kerajaan tidak lagi mewajibkan pelekat cukai jalan dipamerkan di kenderaan serta keperluan lesen memandu fizikal.
Pengawal keselamatan, Ismail Jonit, 59, berkata, aplikasi khas MyJPJ dirasakan tidak berapa sesuai kepada penduduk luar bandar yang mempunyai kekangan mendapatkan talian internet.
"Talian internet yang kadang kala bermasalah di kawasan kampung antara cabaran untuk gunakan aplikasi ini," katanya.
Bagi peniaga, Mohd Yasin Mohd Yusof, 61, dia bersifat terbuka untuk menggunakan aplikasi tersebut yang akan memudahkan urusan.
"Saya sering menggunakan aplikasi perbankan secara dalam talian untuk urusan kewangan. Lagipun sekarang semua orang guna telefon pintar.
"Bagaimanapun saya harap aplikasi ini dipermudahkan dari segi fungsi kegunaan supaya semua peringkat usia boleh menggunakannya," katanya.
Pembantu kedai, Nastazah Nasir, 49, berkata, penggunaan aplikasi khas, MyJPJ disambut baik namun prosedurnya perlu dipermudahkan.
"Apabila kerajaan umumkan lesen dan cukai jalan digital, macam-macam saya dan suami fikirkan.
"Mungkin aplikasi khas ini susah dan capaian talian internet yang kadang kala bermasalah. Justeru, saya harap aplikasi khas lebih mesra dan memudahkan pengguna," katanya.
Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan paparan digital melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.