KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan seramai 500,000 suri rumah mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada tahun 2023.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, sejak dilaksanakan pada 1 Disember 2022 lalu, sejumlah 141,144 golongan sasar telah mencarum di bawah skim terbabit.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 135,281 individu berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditaja oleh kerajaan selama setahun di bawah peruntukan Bajet 2022.
"KSM dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus melaksanakan aktiviti libat urus, program kesedaran, promosi dan sebagainya bagi memastikan rakyat Malaysia memahami tentang SKSSR dan perlindungan yang disediakan.
"Dengan sokongan padu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pelancaran rasmi SKSSR pada hari ini, saya percaya pihak KSM dan Perkeso dapat mencapai sasaran 500,000 pencarum SKSSR bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.
Tambah Sivakumar, SKSSR di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) diperkenalkan bagi menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan kepada lebih tiga juta suri rumah.
Beliau berkata, semua suri rumah berusia bawah 55 tahun yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang layak menyertai skim itu.
"Skim ini menyediakan pelbagai faedah seperti Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Perubatan dan Pemulihan, Elaun Keuzuran, Bantuan Dialisis, Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat,” ujarnya.
Mengulas mengenai Karnival Kerjaya MYFutureJobs, beliau berkata, lebih 13,000 jawatan kosong ditawarkan kepada pencari kerja melibatkan lebih 140 majikan merentasi pelbagai sektor dan industri yang memerlukan kemahiran, pengalaman serta kelayakan berbeza.
Tambahnya, penganjuran program itu adalah sebagai platform yang kondusif untuk menghubungkan majikan dan pencari kerja di bawah satu bumbung bagi memudahkan carian serta pelaksanaan padanan pekerjaan yang efisien.
"Harapan saya pada satu hari nanti, semua majikan akan berdaftar dengan MYFutureJobs dan menawarkan pekerjaan kepada semua graduan serta golongan lepasan sekolah tempatan yang sedang mencari pekerjaan,” ujarnya.
Jelas beliau, sehingga 31 Disember 2022, daripada 879,601 jumlah pencari kerja yang berdaftar, lebih 294,044 telah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan baharu.
"Saya juga ingin menegaskan semula bahawa perkhidmatan pekerjaan yang disediakan oleh Portal MYFutureJobs adalah percuma dan ini termasuk pengiklanan jawatan kosong oleh majikan serta aktiviti berkaitan carian dan penempatan pekerjaan untuk pencari kerja,” katanya.