RM2,000 untuk mangsa kemalangan Genting Highlands

Iklan
Kon Yeow (dua dari kanan) dan Guan Eng (kanan) berjumpa dengan keluarga mendiang Ah Lan semasa memberi penghormatan terakhir di kediaman mangsa kemalangan itu di Juru pada Sabtu. - Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada waris lapan mangsa yang maut dalam kemalangan van persiaran di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, Pahang pada Rabu lepas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan itu diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga kesemua mangsa yang berasal dari negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kami juga mendoakan upacara pengebumian semua mangsa berjalan lancar dan berharap ahli keluarga sabar serta tabah atas kehilangan isteri, ibu dan insan tersayang," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada seorang daripada mangsa kemalangan mendiang, Foong Ah Lan, 67, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Kon Yeow bersama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP turut memberikan penghormatan terakhir kepada enam lagi mangsa kemalangan itu dan menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada waris mangsa.

Iklan

Guan Eng yang ditemui berkata, DAP akan menyediakan bantuan guaman kepada waris mangsa kemalangan itu sekiranya mereka mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat van persiaran yang terlibat.

"Saya telah minta peguam RSN Rayer memantau kes ini dan dalam masa sama kami berharap siasatan serta laporan berhubung kemalangan itu dapat disegerakan supaya kita boleh lihat macam mana tindakan seterusnya dapat diambil," katanya.

Iklan

Sementara itu, anak bongsu mendiang Ah Lan, Mah Chuo Yaik, 30, berkata, beliau sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan tersebut serta kunjungan oleh Kon Yeow dan Guan Eng bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ibunya.

Katanya, mereka sekeluarga terutama ayahnya masih bersedih dengan kemalangan yang menimpa ibunya dan mayat mendiang akan disemadikan pada Ahad di Krematorium Berapit, di sini.

"Tiada lagi wajah ceria dan gembira ibu selepas ini, kami semua akan merindunya. Ibu seorang yang penyayang dan aktif, selain gemar bercuti di dalam dan luar negara bersama keluarga serta kawan-kawan.

"Saya bukan sahaja kehilangan ibu malah bapa saudara (Chang Them Kong, 70) yang turut terlibat dalam kemalangan itu, manakala isterinya yang merupakan kakak kepada ibu saya, Phang Gek Moy, 68, ketika ini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Selain Ah Lan dan Them Kong, enam lagi mangsa yang maut dalam tragedi itu setakat ini ialah pemandu van, Wong Choun Chiet, 49, dan penumpang Lee Moy, 67; Wong Ah Moi, 83; Ang Meng Hong, 62; Seow Mee Tin, 72; dan Chew Chong Beh, 73.

Dalam kemalangan pada 1.15 tengah hari itu, van persiaran yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang. - Bernama