KUALA LUMPUR - Polis akan membuka kertas siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata bagaimanapun memandangkan tiada laporan polis dibuat setakat ini berhubung perkara itu, pihaknya akan membuat laporan maklumat awal (FIR) terlebih dahulu bagi membuka laluan siasatan.
"Laporan ini bagi mendapatkan maklumat awal untuk membolehkan siasatan dijalankan berhubung penularan video berkenaan.
"Polis akan siasat terlebih dahulu bagi melihat apa kesalahan yang ada," katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra bersama penduduk Segambut, di Taman Sri Segambut di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Semalam, video berdurasi dua minit 12 saat bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi tular menerusi media sosial.
Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil pada tengah hari semalam dan sudah ditonton lebih 227,000 kali selain dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen.
Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Mengulas perkembangan lain, Mazlan menggesa orang ramai tampil berkongsi maklumat berkaitan jenayah dengan pihak polis, bukan menularkannya menerusi media sosial.
"Masyarakat boleh menyalurkan maklumat kepada polis dalam pelbagai bentuk, seperti melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di telefon pintar atau menghubungi talian hotline Polis Kuala Lumpur, 03 2115 9999 dan polis akan memberi respons dalam tempoh 15 minit,” katanya ketika berucap pada majlis itu. -Bernama