Sindiket kuota umrah: Pemilik syarikat ditahan

Iklan
Laporan Sinar Harian Jumaat lalu.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pemilik syarikat di Lembah Klang, pada Sabtu bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan melibatkan agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

Menurut sumber, berikutan penahanan lelaki berusia 36 tahun itu, SPRM turut merampas beberapa dokumen serta wang tunai.

Iklan
Iklan

"Lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk tindakan lanjut dan akan direman pada Ahad," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah sumber, siasatan masih dijalankan dan pihak syarikat memberi kerjasama baik kepada SPRM.

Iklan

Beliau berkata, siasatan mendapati ada pegawai syarikat yang mengambil kesempatan di atas permintaan tinggi.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan SPRM membongkar sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

Iklan

SPRM kemudian berjaya menahan enam individu berusia 34 hingga 55 tahun terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan membabitkan enam buah syarikat menerusi operasi khas di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah pada Khamis.

Modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah.

Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan sejak 2018 lagi dan sehingga kini dipercayai sebanyak 216,000 tiket telah diagihkan dengan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta.