SHAH ALAM - Kerajaan disyorkan agar memperkenalkan harga siling ke atas sayur-sayuran bagi mengelakkan pembekal meletakkan harga yang tidak munasabah.
Pemangku Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Muhammad Fikri Ahmad berkata, bagaimanapun harga siling yang ditetapkan itu perlu disemak secara berkala.
Menurutnya, kementerian dan agensi berkaitan juga seharusnya membuat pemantauan dengan lebih teliti dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap ‘orang tengah’ yang bertanggungjawab menetapkan harga sekali gus memberi kesan kepada harga semasa di pasaran.
"Pejuang Muda Malaysia berpandangan inisiatif untuk memperkasakan pertanian kontrak dapat menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar.
"Ia juga dapat menjamin pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran yang berkualiti serta menepati kehendak pasaran sesuai dengan harga yang berpatutan seiring dengan kempen Menu Rahmah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, harga sayur-sayuran dilaporkan telah meningkat hampir 100 peratus berbanding bulan lepas.
Misalnya, harga bagi sekilogram timun meningkat secara mendadak daripada RM1.80 (13 Januari 2023) hingga RM 6.50 (1 Februari 2023), kenaikan sebanyak 261 peratus dalam masa sebulan.
Mengulas lanjut, Muhammad Fikri berkata, peningkatan seperti itu bukanlah pertama kali dalam sejarah tetapi sudah acap kali berlaku.
"Menurut Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, kenaikan harga sayur ini berpunca daripada musim hujan dan tiada cahaya matahari.
"Secara logiknya ia tidak boleh menjadi satu alasan kerana musim tengkujuh ini bukan kali pertama, malah saban tahun berlaku. Mana mungkin tiada langsung persediaan untuk menghadapi krisis ini?” soalnya.
Tambahnya, kenaikan harga bahan asas pastinya akan menimbulkan kesan domino kepada rantaian pembekalan makanan secara keseluruhannya.
"Pejuang Muda mengambil maklum bahawa 60 notis siasatan kenaikan harga sayur telah dikeluarkan.
"Walau bagaimanapun, langkah ini dilihat lebih bersifat reaktif. Langkah proaktif dan tegas wajar diambil dengan cara mewujudkan ekosistem yang lebih mesra Menu Rahmah.
"Contohnya penyediaan subsidi kemudahan logistik dan subsidi bahan input yang lebih banyak bagi menjamin bahan makanan asas yang cukup, berkualiti dan berpatutan,” ujarnya.