PUTRAJAYA - Kos sara hidup di Malaysia meningkat kerana rasuah berleluasa.
Demikian respons bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya punca kos sara hidup di Malaysia masih meningkat saban tahun.
Menurutnya, apabila setiap urusan diselitkan elemen rasuah, ia menyebabkan harga barang menjadi semakin mahal.
"Perkara yang utama adalah rasuah. Kos naik kerana rasuah.
"Banyak benda-benda yang harganya murah tapi bila dicampur dengan rasuah, harganya meningkat, menyebabkan kos sara hidup meningkat.
"Ada juga perkara-perkara lain tapi rasuah di antara yang menyebabkan 'cost of living' tidak dapat diturunkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Usahawan Bumiputera,"Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan” di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Sabtu.
Ketika ditanya prestasi ekonomi Malaysia, Dr Mahathir menyatakan kerajaan sebenarnya masih belum selesaikan isu kos sara hidup membabitkan rakyat.
"Masih belum diatasi pun, tiada rancangan macam mana nak kurangkan 'cost of living' selain dari kata kalau ayam mahal jangan makan ayam.
Dalam perkembangan lain, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu meramal Malaysia mampu mengharungi kelembapan ekonomi dunia tahun ini.
Menurutnya, beliau percaya Malaysia akan terselamat kerana ada barangan tempatan mendapat pasaran begitu tinggi di luar negara seperti industri sarung tangan dan komponen pembuatan.
"Pasaran eksport kita memang berjaya tetapi keadaan dalam negara iaitu kos sara hidup masih tinggi dan tidak menunjukkan tanda-tanda pulih.
"Secara dasarnya, golongan tertentu termasuk miskin masih tidak mendapat makanan mencukupi, tiada kerja dan tidak boleh menerima ekonomi kita tumbuh dengan pesat," katanya lagi. - Awani