SHAH ALAM - Kerajaan disyorkan mengambil lima inisiatif bagi menyelesaikan masalah pekebun kecil dan penoreh getah yang terkesan dengan kejatuhan harga barangan komoditi tersebut di pasaran global.
Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, antara inisiatif tersebut adalah kerajaan perlu menyalurkan bantuan bulanan kepada semua pekebun kecil dan penoreh getah dengan kadar segera sehingga harga getah kembali stabil di pasaran.
"Kedua, kerajaan perlu menaikkan kadar bantuan tanam semula pokok getah menggantikan pokok getah yang tua dan tidak ekonomik serta menggalakkan pekebun kecil menanam semula getah dari klon yang berkualiti tinggi.
"Ketiga, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan subsidi dan penetapan harga lantai getah bagi mengimbangi kejatuhan harga pasaran getah global pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Ulas Khairil selaku Ahli Parlimen Jerantut, selain bergantung dengan pendapatan getah, kerajaan juga boleh memperkenalkan inisiatif pendapatan sampingan melalui dana atau geran khas.
"Keempat, kerajaan perlu memperkenalkan pelaksanaan tanaman lain yang bersesuaian atau menceburi bidang penternakan secara integrasi di dalam kebun getah.
"Akhir sekali, kerajaan juga perlu mencontohi negara jiran seperti Thailand yang lebih ke hadapan dalam memperkenalkan teknologi terkini kepada pekebun kecil untuk menarik minat golongan belia untuk menjadi usahawan yang berasaskan kepada industri getah,” katanya.
Tegasnya, keprihatinan kerajaan amat penting bagi memastikan industri getah di Malaysia tidak menjadi seperti hidup segan, mati tak mahu.
"Gunakanlah kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat yang memerlukan,”ujarnya.