AMPANG - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, ditangguhkan sementara berikutan keadaan gelap.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, Op SAR yang bermula pada jam 5.08 petang tadi ditangguhkan jam 8.15 malam.
"Seramai 30 anggota dan pegawai termasuk daripada Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta agensi lain terbabit dalam operasi ini," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Norazam berkata, pihaknya akan memindahkan pusat kawalan (operasi) di sebuah tahfiz berhampiran untuk lokasi pencarian pada Ahad.
"Keluasan pencarian pada esok (Ahad) dianggarkan sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di dalam longkang berkenaan," katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian, dua mangsa berkenaan dipercayai bermain air berhampiran longkang itu bersama tiga lagi rakannya.
"Ketika kejadian hujan lebat, dua mangsa ini mungkin tergelincir ke dalam longkang yang sedalam 1.2 meter sebelum dihanyutkan arus deras,” katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.
Mangsa pertama, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie berusia 8 tahun ditemui jam 6.30 petang tadi pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh, manakala mangsa kedua, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 10, masih hilang.