HASRAT menggunung Chelsea untuk membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila terikat seri 1-1 ketika berkunjung menentang West Ham United di Stadium London pada Sabtu.
Sebaliknya keputusan seri ketujuh selepas mengharungi 22 perlawanan itu menyaksikan The Blues yang mengumpul 31 mata semakin menyisihkan diri dari kelompok empat teratas liga.
Iklan
Iklan
Biarpun selesa mendahului hasil jaringan pembukaan Joao Felix pada minit ke-16, ia gagal memacu motivasi skuad mewah kendalian Graham Potter untuk melebarkan jaringan.
Namun penyudah unggul bekas pemain pertahanan Blues, Emerson Palmieri pada minit ke-28 berjaya menewaskan Kepa Arrizabalaga, sekaligus memadam kelebihan dimiliki pelawat.
Malah kelab sensasi London juga melebarkan rekod tidak menang di tempat lawan sejak Oktober.
Chelsea kekal di tempat kesembilan dalam jadual, sembilan mata di belakang Newcastle di tangga keempat yang bermain kurang satu perlawanan.
West Ham pula naik ke tangga ke-15, namun hanya dua mata di depan Everton, pasukan yang menduduki tempat tertinggi di tempat penyingkiran.