KEPONG - Sebanyak empat lori Majlis Perbandaran Selayang (MPS) penuh dengan muatan barangan sitaan di dua premis pusat hiburan yang diserbu dalam operasi diadakan malam tadi.
Premis beroperasi di Desa Aman Puri dan Taman Perindustrian KIP itu diambil tindakan tegas selepas berdegil tetap meneruskan operasi tanpa kebenaran.
Pemangku Yang Dipertua MPS, Datuk Juhari Ahmad berkata, pengusahanya tidak mengendahkan amaran penguatkuasaan walaupun telah dikenakan kompaun RM25,000 minggu lepas.
"Premis ini beroperasi kira-kira lapan tahun dan pernah dikeluarkan lesen perniagaan sebelum ditarik semula atas pelanggaran syarat lesen lebih tiga kali.
"Beberapa kali tindakan telah diambil namun tidak bertahan lama apabila pengusahanya membuka semula premis mereka selepas beberapa bulan penguatkuasaan dilakukan," katanya.
Katanya, sitaan yang dilakukan semalam adalah di bawah Seksyen 6(1)(sita) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995 kerana membuka tempat hiburan tanpa lesen.
"MPS memberikan peluang sebanyak dua kali kepada premis yang melanggar syarat lesen dengan kaedah pemotongan cagaran dan akan menarik lesen bagi kesalahan ketiga.
"MPS akan meneruskan pemantauan dan operasi ini secara konsisten agar operasi perniagaan tanpa lesen dapat dikawal serta memastikan peniaga mematuhi syarat perniagaan," katanya.
Operasi melibatkan 70 anggota MPS dan merampas kelengkapan perniagaan termasuk set sofa, pembesar suara, monitor, televisyen dan meja snuker.