MARAN - [DIKEMAS KINI] Baru seminggu kahwin dan inai masih merah di jari, Azimah Zahari, 31, kehilangan suaminya yang maut akibat kemalangan di Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Lubuk Kawah pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Hairul Hafizi Mursid, 34, yang bekerja sebagai penolong penyelia pasar raya di Temerloh menunggang motosikal dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh di tempat kejadian.
Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari sama.
Kejadian yang menimpa mangsa turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen selain bersedih dengan tragedi tersebut.
Azimah memberitahu, dia dan suami baharu sahaja melangsungkan perkahwinan mereka pada 4 Februari lalu.
Ujar anak bongsu dari tiga beradik itu, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 17 selepas tamat waktu bekerja.
"Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada naik motosikal atau kereta. Tapi, semalam (Jumaat), kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya nak 'service' motosikal.
"Dalam perjalanan balik malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.
"Saya melepasi tempat suami terjatuh, tapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal tu dan memang tak sangka, suami saya terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam beritahu pada saya," kata Azimah.
Tambah Azimah, keadaan suaminya ketika itu dalam keadaan separuh sedar dan mengerang kesakitan sebelum dihantar ke hospital.
"Bila tiba di hospital, saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.
"Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal," jelas Azimah yang ditemui di kediaman keluarga di Kampung Baru Chenor di sini pada Sabtu.
Jenazah Allahyarham Hairul selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor kira-kira jam 4.28 petang pada Sabtu.
Ujar Azimah, suaminya adalah seorang anak yatim piatu dan mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak 2016.
"Suami juga anak bongsu dari empat adik-beradik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada hari kejadian kecuali sebelum ini ada meluahkan rasa rindu pada arwah ibunya.
"Arwah seorang periang, suka tersenyum dan kuat menyakat dan kami memiliki hobi sama, suka ubah suai kenderaan tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi saya.
"Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan," akui Azimah lagi.
Dalam pada itu, dia berharap kejadian yang menimpa suaminya menjadi pengajaran pada semua pihak selain segera diselenggara sebaik mungkin oleh pihak terbabit.
"Itu lah laluan kami untuk balik kerja. Jalan tu selalu ada air dan saya perasan memang ada lubang.
"Jangan jadi pada orang lain pula. Sebelum ni, ada juga dengar orang patah tangan, kaki.... Cuma nyawa je tak melayang lagi.
"Sekarang, berlaku pada suami saya. Jadi, saya minta dan berharap, pihak berkaitan dapat baiki atau selenggara sekerap jalan itu," tambah dia lagi.
Sementara itu, ketika tinjauan dibuat di lokasi kejadian pada Sabtu mendapati laluan tersebut telah diturap.