GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy mendakwa kenyataannya mengenai keperluan untuk pembaharuan dalam perkhidmatan awam negara telah diputar belit oleh penerbitan tertentu.
Menurutnya, dengan melakukan perkara demikian mereka membenarkan publisiti murahan tertentu dengan mencari ahli politik untuk terlibat melalui pengumpanan kaum.
Jelasnya, disebabkan polemik itu, ahli-ahli politik yang memberi ulasan tidak membalas dengan merujuk kepada penerbitan asal artikel yang ditulisnya pada laman Facebook sehingga mencetuskan kutukan perkauman dan ekstremisme agama.
"Artikel FB saya tentang keperluan untuk pembaharuan dalam perkhidmatan awam negara telah diputar belit dan dipusing-pusingkan oleh penerbitan tertentu.
"Artikel saya menekankan keperluan untuk pembaharuan dalam perkhidmatan awam seperti yang dicadangkan sebelum ini oleh Premier Sarawak, Abang Johari dan Jurucakap G25, Noor Faridah Ariffin.
"Tetapi malangnya, ahli politik dalam beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) cuba mentafsir semula berita terpakai di media untuk memberikan sifat perkauman kepada hujah saya berkenan reformasi dalam perkhidmatan awam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, beliau sebelum ini menulis tentang keperluan untuk pembaharuan dalam perkhidmatan awam dan perkara itu pernah dibincangkan tanpa kecondongan politik jahat yang licik seperti sekarang.
Beliau berkata, gesaan pihak tertentu yang mahu tindakan diambil terhadapnya tidak akan menyembunyikan masalah sebenarnya yang wujud dalam isu berkenaan.
"Dalam kes ini, kebenaran tentang perkhidmatan awam kelihatan tidak menyenangkan bagi mereka yang ingin mengukuhkan status quo sedia ada dalam perkhidmatan awam.
"Permintaan bagi pembaharuan dalam perkhidmatan awam tidak sama dengan memecahkan monopoli orang Melayu," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, kenyataannya berkenaan isu perkhidmatan awam itu adalah pandangan peribadi dan tidak langsung mewakili kedudukannya sebagai pimpinan kerajaan negeri mahupun mewakili parti.
Beliau menegaskan, cadangan yang diberikannya itu hanya atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus negara namun telah diputar belit.