Harga maman naik mendadak, cecah RM15 sekilogram

Iklan

GEMENCHEH – Sayur maman yang menjadi bahan utama masakan rendang maman kini naik harga mendadak hingga mencecah RM15 sekilogram.

Iklan
Iklan

Hasil tinjauan wartawan Sinar Harian di Pasar Tani Gemencheh, rata-rata peniaga menjualnya pada harga RM12 hingga RM15 sekilogram.

Kenaikan mendadak sekali ganda itu mengundang resah orang ramai berikutan harga jualan pada bulan lepas sekitar RM7 atau RM8 sekilogram.

Iklan

Penduduk Gemencheh, Isa Embi, 68, berkata, dia berasa kecewa dengan kenaikan mendadak harga sayur maman itu.

ISA

"Minggu lepas saya beli dapat harga RM8 sekilogram. Hari ini saya terkejut tengok harga mencecah RM15 sekilogram.

Iklan

"Ini bukan musim perayaan. Kalau Hari Raya saya boleh terima lagi harga ini tapi bila naik sampai RM15 sekilogram, saya tidak akan beli,”katanya.

Menurutnya, tindakan peniaga menaikkan harga maman dikhuatiri akan menjejaskan industri makanan di Gemencheh kerana rendang maman merupakan menu tradisi yang menjadi tarikan di Gemencheh.

"Peniaga janganlah ambil kesempatan naikkan harga. Ini makanan tradisi rakyat Gemencheh. Kalau harga naik, nanti orang tak beli dan tak masak rendang maman.

"Kalau boleh turunkan la harga tu sedikit. Bagi saya, harga RM10 sekilogram pun sudah mahal apatah lagi harga RM15 sekilogram,”katanya.

ROZITA

Rozita Sidek, 50, dari Batang Melaka, berkata, dia terkejut apabila mengetahui harga maman dijual mendadak sekali ganda dari harga sebelum ini.

"Saya datang Pasar Tani nak beli maman sebab anak-anak balik kampung. Bila datang sini, saya terkejut tengok harga naik mendadak.

"Ada yang jual harga RM12 sekilo, ada yang jual RM15 sekilo. Bayangkan saya beli dua kilogram sudah cecah RM30 sekilogram. Terkejut saya bila lihat harga maman ini,”katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu memantau harga maman ini kerana bimbang harga akan terus naik mendadak pada musim perayaan kelak.

"Saya harap pihak berkuasa dapat pantau harga. Rendang maman ini menu tradisi rakyat Gemencheh. Kalau maman naik harga macam ini, orang pun takut nak masak.

"Bayangkan harga maman sahaja sudah RM15 sekilo, itu belum campur kos lain seperti ayam, santan, lada, kunyit. Tidak sepatutnya peniaga menaikkan harga tinggi,”katanya.

Fauziah (kanan) melayan pelanggan yang mahu beli sayur maman di Pasar Tani Gemencheh, di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga maman, Fauziah Talib, berkata, dia terpaksa menaikkan harga maman berikutan mendapat harga yang tinggi dari peraih.

"Saya dapat harga antara RM10 hingga RM12 sekilogram, jadi saya terpaksa jual RM15 sekilogram.

"Mereka naikkan harga kerana musim hujan bekalan maman susah nak dapat. Ada peraih yang bagitau harga naik disebabkan harga baja dan racun naik mendadak.

"Dulu baja boleh dapat harga RM100, sekarang dah mencecah RM300. Bila kos semua naik, peraih dan peniaga terpaksa naikkan harga maman,”katanya.

Peniaga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohd Luqman Hakimi Mohd Najib, berkata, dia terpaksa menaikkan harga maman berikutan sayur itu sukar didapati ketika musim hujan.

"Maman ini daunnya sensitif, bila kena hujan sayur akan rosak. Dulu saya boleh dapatkan dari peraih 50 kilogram, tetapi musim hujan ini saya boleh dapat 10 kilogram sahaja.

"Bila bekalan terhad, harga akan naik mendadak. Saya terpaksa naikkan harga RM12 sekilogram.

"Memang orang ramai marah, tapi apa yang boleh saya buat bila peraih naik harga, saya pun terpaksa naikkan harga juga,”katanya.