JOHOR BAHRU - Seorang penjawat awam dan sepasang suami isteri merupakan antara sembilan individu yang ditahan dalam sembilan serbuan dadah melibatkan nilai lebih RM1 juta di tiga daerah pada 8 Februari lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, serbuan secara serentak itu dilakukan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bermula jam 12 tengah hari Rabu sehingga 2 pagi Khamis di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.
"Menerusi operasi khas tersebut, enam lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 34 tahun termasuk seorang penjawat awam berusia 33 tahun ditahan. Selain itu tiga wanita tempatan berusia 24 sehingga 27 tahun turut ditahan.
"Hasil semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Ahad.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, pihak polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 21 paket syabu seberat 24.69 kilogram (kg) bernilai RM888,912; 10 paket heroin (3.56kg bernilai RM47,717) dan 337 gram (g) ketamin (bernilai RM50,550).
Katanya, ini termasuk 2,540 biji pil Eramin 5 (787.58g bernilai RM59,058); 1.20 liter air ketum (RM30) dan 70 bungkusan mengandungi mercun bola.
Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM1,046,277 dan semua bahan terlarang yang dirampas itu boleh digunakan seramai 145,490 penagih.
Selain itu katanya, pihak polis turut menyita enam kereta dengan nilai sitaan RM582,000, empat motosikal (RM57,000), pelbagai barang kemas (RM11,856) dan wang tunai RM2,710 sementara jumlah keseluruhan sitaan RM653,566.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi operasi berkenaan adalah RM1,699,843.
Jelasnya, modus operandi pengedaran dadah itu menjadikan kawasan rumah berpagar dan berpengawal yang disewa selain menggunakan kereta ahli keluarga untuk menjalankan kegiatan tersebut.
"Suspek merupakan pengedar dadah dan menggunakan rumah dan kereta sebagai tempat menyimpan dadah. Dadah tersebut diedarkan ke tiga daerah tersebut," katanya.
Kata beliau, semua suspek merupakan kenalan dan pihaknya sedang mengesan saki baki anggota sindiket tersebut yang dipercayai masih bebas termasuk menyiasat dalangnya.
Tambahnya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 8 sehingga 14 Februari untuk siasatan lanjut di bawah 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Dalam pada itu, Kumar berkata, bermula 1 Januari sehingga 10 Februari, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan 2,170 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
Ujar Kumar, dalam tempoh tersebut pihak JSJN Johor berjaya membuat rampasan 646.63kg manakala keseluruhan rampasan dadah bernilai RM5.65 juta dan turut disita harta sindiket bernilai RM2.84 juta.
Polis Johor katanya, berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka menerusi talian hotline JSJN 012-2087222.