Isytihar harta: SPRM jangka akta baharu bakal dilaksana

Iklan
Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil - Foto Bernama

KUALA NERUS - Akta baharu di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewajibkan ahli politik serta pegawai kanan kerajaan gred Jusa C ke atas, mengisytiharkan harta dijangka dilaksana sebelum akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, berdasarkan undang-undang baharu itu nanti, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan sama ada penjara atau denda.

Iklan
Iklan

"Mengikut akta baharu itu nanti, kalau mereka tak isytihar, ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada penjara atau denda. Namun kita perlu tunggu apa yang bakal diluluskan pada peringkat Parlimen nanti.

"Ketika ini, kita sedang dalam proses penyediaan (perkara berkaitan akta baharu) yang mana akhirnya kita bawa ke bahagian penggubalan dan seterusnya bawa ke Kabinet dan kita harap sebelum akhir tahun ini perkara ini dapat direalisasikan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (Komawar) yang dihadiri lebih 2,000 pelajar universiti awam dan swasta dari Kelantan, Pahang dan Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Ketika ini pengisytiharan harta oleh anggota Parlimen kerajaan dan anggota pentadbiran hanya dilakukan secara sukarela yang kemudiannya dipaparkan kepada umum menerusi portal suruhanjaya itu.

Iklan

Katanya setakat April ini, seramai 122 anggota Parlimen kerajaan dan 76 anggota pentadbiran kerajaan (termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) telah mengisytiharkan harta.

"Namun, masih ada yang belum berbuat demikian iaitu enam ahli Parlimen kerajaan dan tujuh anggota pentadbiran kerajaan. Kita tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan ini hanyalah program sukarela yang mereka (Pakatan Harapan) janjikan untuk mencerminkan ketelusan dan akauntabiliti mereka," katanya.

Konvensyen bertemakan 'Mahasiswa Malaysia Baru Tolak Rasuah' itu bertujuan membentuk nilai pemimpin mahasiswa membenci budaya negatif itu dan sebagai sokongan mahasiwa kepada usaha pencegahan rasuah oleh SPRM di negara ini. -Bernama